• 4 Didakwa Rogol Berkumpulan, Seks Luar Tabii

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 9 March 2018
    A- A+

    AMPANG: Empat lelaki termasuk dua beradik, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan rogol berkumpulan dan seks luar tabii terhadap seorang kerani yang juga kenalan mereka, akhir bulan lalu.

    Tertuduh, Muhd Zulhusni Shoeb, 23; Nurluqman Hanif Norhisam, 20, masing-masing bekerja sebagai jurujual telepemasaran; dan penjual burger, Muhammad Amer Redzuan Mohd Tahir, 19, mengaku tidak bersalah serta memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan rogol berkumpulan terhadap mangsa berusia 20 tahun di sebuah rumah di Jalan Pandan Cahaya 2/1, Taman Pandan Ria di sini, jam 10.30 malam 28 Februari lalu.

    Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.

    Ketiga-tiga mereka secara berasingan juga dituduh merogol mangsa sama di tempat sama, antara jam 9 dan 10 malam 28 Februari lalu, serta didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Muhd Zulhusni dan Muhammad Amer, masing-masing turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa di tempat sama, antara jam 10.40 dan 10.50 malam 28 Februari lalu.

    Nurluqman Hanif pula didakwa atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa di tempat sama, antara jam 10.45 dan 10.55 malam 28 Februari lalu.

    Adik Nurluqman Hanif, Nurluqman Daniel, 19, turut dituduh melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di tempat sama, jam 10.55 malam 28 Februari lalu.

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M Arunjothy, tiada menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh kerana kesalahan berkenaan tidak dibenarkan jamin. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 12 April depan untuk sebutan semula kes.- BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " 4 Didakwa Rogol Berkumpulan, Seks Luar Tabii "