• 30 Tan Minyak Masak Bersubsidi Dirampas

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,205 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram dengan kuantiti hampir 30 tan dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur daripada sebuah syarikat pemborong menerusi Ops Goreng II di Taman Bullion Mewah, dekat sini, semalam.

    Peket minyak itu dipercayai disorokkan oleh pemborong berdasarkan maklumat invois dan penghantaran (DO) daripada syarikat pembungkus kepada sebuah syarikat pembeli yang sepatutnya menerima barangan kawalan berkenaan.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur, Wan Mhd Yusof W Taib, berkata operasi berkenaan dibuat hasil risikan dan pemeriksaan terhadap beberapa dokumen yang didapati mempunyai maklumat meragukan.

    Katanya, ini kerana minyak masak dengan kuantiti hampir 30 tan itu sepatutnya dihantar oleh syarikat pembungkusan ke sebuah syarikat pembeli, namun syarikat itu tidak beroperasi.

    "Menerusi maklumat serta risikan yang diperoleh, penguat kuasa KPDNKK Kuala Lumpur membuat siasatan di tiga premis berkenaan sebelum mendapati bahawa syarikat yang membeli minyak masak di Taman Mastiara, Jalan Ipoh tidak beroperasi.

    "Jadi, kita kemudian membuat pemeriksaan di sebuah premis syarikat borong di Taman Bullion Mewah sebelum menemui 6,205 peket minyak masak bersubsidi di sorokkan di dalamnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Wan Mhd Yusof berkata, hasil semakan mendapati lesen borong (CSA) milik syarikat pemborong berkenaan sudah tamat tempoh dan melanggar Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

    "Hasil siasatan juga mendapati CSA sudah tamat tempoh pada 5 Februari lalu.

    "Jadi, KPDNKK bertindak merampas kesemua hampir 30 tan minyak masak berkenaan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa lesen yang sah sebagai salah satu syarat untuk menyimpan bekalan barangan dalam kawalan," katanya.

    Wan Mhd Yusof berkata, nilai keseluruhan minyak maak yang dirampas itu adalah sebanyak RM11,512.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 30 Tan Minyak Masak Bersubsidi Dirampas "