• 3 Ahli Perniagaan Cuba Rasuah Polis Ditangkap

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 15 March 2018
    A- A+


    MIRI - Tiga ahli perniagaan ditahan kerana menawarkan wang suapan antara RM1,000 hingga RM1,500 kepada polis dalam serbuan di tiga lokasi berbeza di sini, semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, ketiga-tiga suspek lelaki tempatan masing-masing berumur 30, 46 dan 43 tahun ditahan di tiga kedai runcit iaitu di Desa Indah, Jalan Maigold Senadin dan Quadruplex Permyjaya.


    "Pelbagai jenama rokok dan minuman keras dengan nilai keseluruhan RM421,150 dipercayai tidak dibayar cukai dirampas dari tiga lokasi berbeza itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata, semasa pemeriksaan dibuat, ketiga-tiga pemilik premis perniagaan gagal menunjukkan bukti pembayaran cukai kepada Jabatan Kastam terhadap kotak rokok serta minuman keras yang telah diperiksa.

    Dalam serbuan pertama di Desa Indah, pada 10.55 pagi semalam, polis telah merampas 650 karton rokok dan 24 tin minuman keras pelbagai jenama bernilai RM138,180.

    Tan berkata dalam serbuan itu, seorang suspek telah menawarkan wang suapan RM1,500 kepada polis bertugas.

    "Serbuan kedua pula dilakukan di Jalan Maigold Senadin pada 11.10 pagi semalam, menyaksikan 1,000 karton rokok pelbagai jenama dirampas bernilai RM97,000 dan suspek yang berada di premis tersebut turut menawarkan wang suapan RM1,000," katanya.

    Jelasnya, serbuan ketiga di Quadruplex Permyjaya pada 12.45 tengah hari, suspek ketiga pula menawarkan wang suapan RM1,000 setelah 168 tin minuman keras dan 18 kotak mengandungi botol minuman keras bernilai RM185,970 ditemui. - Bernama
  • No Comment to " 3 Ahli Perniagaan Cuba Rasuah Polis Ditangkap "