• 286 Pelajar Cemas Bilik Asrama SMK Tebedu Terbakar

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+


    SERIAN: Seramai 286 penghuni asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu dekat sini berdepan dengan detik cemas apabila salah sebuah bilik asrama terbakar awal pagi tadi.

    Dalam kejadian sekitar jam 6.50 pagi itu, sebuah bilik asrama yang dihuni 14 orang pelajar lelaki terbakar.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 6.55 pagi dan terus mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi.

    "Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran berjaya dipadamkan oleh pihak sekolah dengan menggunakan 35 unit alat pemadam api .

    "Anggota bomba yang tiba kemudian bertindak membuat pemadaman sisa-sisa kebakaran yang masih ada bagi memastikan kebakaran terkawal sepenuhnya," katanya.

    Hasil siasatan awal mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah bilik asrama lelaki jenis struktur kekal tiga tingkat.

    Tiada sebarang laporan kecederaan mahupun kemalangan jiwa dalam insiden tersebut.

    Bagaimanapun, punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran kini masih dalam siasatan.-Sarawakiana
  • No Comment to " 286 Pelajar Cemas Bilik Asrama SMK Tebedu Terbakar "