• 10 Peratus Warga Malaysia Berusia 60 Tahun Ke Atas Menjelang 2020 - KKM

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Golongan warga emas yang ditakrifkan berumur 60 tahun ke atas akan terus meningkat di Malaysia dan dijangka mencapai 10 peratus atau 3.4 juta menjelang 2020.

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata pada masa itu, Malaysia akan memasuki kategori negara menua mengikut jangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Pada 2020, tujuh peratus penduduk Malaysia akan berumur 65 tahun dan ke atas, tambah KKM.

    "Menyedari fenomena ini, kerajaan telah menggubal Dasar Warga Tua Negara pada 1995 dan Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara 1999. Dan pada 1997, KKM juga telah menyediakan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Tua Negara.

    "Dasar ini penting untuk memastikan penuaan yang sihat, aktif dan produktif dengan memperkasakan warga emas, keluarga dan komuniti dengan pengetahuan yang terkini, kemahiran dan persekitaran yang sewajarnya, serta penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang optima di semua peringkat dan oleh pelbagai sektor," kata kementerian dalam satu kenyataan semalam di majlis Perasmian Bangunan Kelab Warga Emas di Klinik Kesihatan Tanjung Malim, Perak.

    KKM berkata penuaan penduduk adalah satu fenomena universal yang dialami oleh semua negara di dunia dalam kadar yang berbeza.

    Ia menerangkan antara prinsip-prinsip untuk pemberian perkhidmatan kepada warga emas di Malaysia adalah berdasarkan kepada prinsip yang diamal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan dari segi fizikal, mental dan sosial dan tidaklah hanya tanpa ketiadaan penyakit atau ketidakupayaan.

    Perasmian bangunan Kelab Warga Emas di Tanjung Malim semalam telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Dr Chen Chaw Min. Ia sebagai inisiatif perlaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Perak dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, Perak.

    Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Hassan Merican.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 10 Peratus Warga Malaysia Berusia 60 Tahun Ke Atas Menjelang 2020 - KKM "