• Winfrey, Clooney, Spielberg derma RM1.9 juta

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+
    LOS ANGELES : Tiga selebriti terkenal Hollywood, Oprah Winfrey, George Clooney dan Steven Spielberg berikrar menyumbang AS$500,000 (RM1.95 juta) setiap seorang bagi menjayakan kempen 'March for Our Lives' di Washington.

    Kempen berkenaan diadakan sebagai menyokong usaha mengawal penjualan senjata api, susulan tragedi tembakan rambang minggu lalu di Sekolah Tinggi Florida yang meragut 17 nyawa.

    Clooney dan isterinya, Amal Clooney, seorang peguam hak asasi manusia adalah selebriti pertama yang menyatakan ikrar mereka malah berjanji untuk turut menyertai perarakan itu bersama ratusan pelajar lain 24 Mac depan.

    Penganjuran perarakan itu mendapat bantuan pelajar-pelajar dari Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas, yang juga lokasi tragedi berkenaan.

    Dalam peristiwa 14 Februari itu, seorang bekas pelajar sekolah terbabit berusia 19 tahun yang bersenjatakan senapang separa automatik AR-15 melepaskan tembakan secara rambang dan meragut 17 nyawa.

    "Kami sekeluarga akan menyertai perarakan itu pada 24 Mac nanti sebagai tanda sokongan terhadap mereka. Bagi pihak anak kami, Ella dan Alexander, kami juga akan menyumbang AS$500,000 (RM1.95 juta). Masa depan anak-anak kami bergantung kepada usaha ini," kata Clooney dalam satu kenyataan.

    Lewat semalam, pengarah terkenal Spielberg dan isterinya, Kate Capshaw serta pengacara terkemuka, Winfrey turut menyatakan persetujuan masing-masing untuk mendermakan wang tunai dengan jumlah yang sama. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Winfrey, Clooney, Spielberg derma RM1.9 juta "