• Waspada Muat Naik Video, Gambar Di Media Sosial

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Kontinjen negara diminta berwaspada dalam memuat naik sebarang gambar mahupun video menerusi media sosial berkaitan perjalanan temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

    Perkara tersebut juga tertakluk kepada media Malaysia yang akan membuat liputan sepanjang temasya tersebut yang dijadual bermula pada 4 hingga 15 April ini.

    Amaran tersebut disuarakan oleh ketua kontinjen, Huang Ying How yang meminta agar atlet, pegawai mahupun media mengikuti peraturan ditetapkan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi melancarkan perjalanan sepanjang temasya berlangsung.

    “Saya harap kita semua boleh ikut peraturan yang telah ditetapkan. Setiap temasya sukan akan ada garis panduan tersendiri termasuk juga Sukan Komanwel. Sesiapa yang tidak mendapat lesen penyiaran tidak dibenarkan sama sekali merekod sebarang video dan sebar dalam media sosial.

    Kita tidak mahu perkara tidak diingini seperti akreditasi ditarik balik oleh pihak penganjur berlaku kepada kontinjen serta media Malaysia,” katanya selepas mesyuarat kedua Pengurus Pasukan bagi Sukan Komanwel di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, hari ini.

    Huang berkata beliau akan memastikan setiap pengurus pasukan bersemuka dengan atlet-atlet bagi menjelaskan mengenai peraturan yang ditetapkan itu.

    Beliau juga turut meminta agar semua atlet negara tahu dan menjalankan tanggungjawab mereka selaku individu yang membawa nama negara dengan memastikan Malaysia bersih daripada sebarang isu doping.

    Satu pasukan terdiri daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan MOM kini sedang bekerja keras bagi memastikan semua atlet negara faham dan tahu mengenai tanggungjawab mereka.

    Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) bagi memastikan tidak timbul isu penyalahgunaan bahan terlarang sepanjang Sukan Komanwel.

    “Kini telah adakan post mortem Sukan SEA 2018 dan kita akan cuba jadi lebih baik berbanding Sukan SEA. Minggu depan kami akan anjurkan seminar mengenai anti-doping melibatkan semua atlet negara yang akan ke Sukan Komanwel,” katanya.

    Huang berharap semua atlet negara memastikan mereka tahu kandungan bahan yang terkandung dalam ubat mahupun suplemen yang diambil bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Waspada Muat Naik Video, Gambar Di Media Sosial "