• Waspada hasutan bermusim pembangkang - PM

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 4 February 2018
    A- A+


    TEMERLOH: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat tidak termakan hasutan pembangkang dengan menimbulkan isu tertentu secara bermusim, yang akhirnya terbukti tidak benar.

    Perdana Menteri berkata, contohnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, pembangkang membangkitkan isu berkaitan kilang nadir bumi, Lynas di Kuantan, walaupun disahkan selamat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan akhirnya kini tidak lagi dibangkitkan.

    Beliau berkata, timbul juga isu berkaitan penipuan pengiraan undi pada PRU-13 yang digelar 'blackout' walaupun perkara berkenaan tidak berlaku dan proses pengiraan undi dilakukan secara adil termasuk dihadiri wakil parti bertanding.

    "Sebab itu, bila kita dengar cerita karut marut, jangan mudah telan, kita mesti periksa kerana dalam Islam, ada konsep tabayyun atau menyelidik kesahihan maklumat bagi mengikis sebarang fitnah, Allah SWT meminta kita memeriksa berita diterima, kalau tidak, kita boleh berlaku tidak adil.

    "Jangan mudah sangat percaya pada pembangkang kerana mereka kalau buat sesuatu bertujuan menghasut kita," katanya berucap pada Pesta Menuai Ikan dan Majlis Jamuan Rakyat di Estet Ikan Kampung Paya Chempaka, Lanchang, dekat sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

    Najib yang juga Pengerusi BN, berkata beliau melihat mood serta sokongan terhadap BN pada masa kini adalah baik kerana rakyat mengetahui ia adalah sebuah kerajaan boleh diharap.

    Katanya, kerajaan BN yang dipimpinnya kini memerlukan mandat lebih besar supaya usaha membela rakyat termasuk dalam isu sawit Malaysia diboikot Kesatuan Eropah (EU) yang dibangkitkannya dalam pertemuan dengan Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly, baru-baru ini.

    "Bila kerajaan kuat boleh saya jumpa Menteri Pertahanan Perancis serta ketua negara lain kerana mereka tahu kita ada mandat kuat dan boleh beri kata dua kepada sesiapa tidak menghormati kita," katanya.

    Beliau turut membidas tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohammad yang menemui sekumpulan Duta EU bagi mengadu sistem pilihan raya di negara ini walhal ia sama sahaja seperti digunakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

    "Sistem itu yang mengangkatnya menjadi Perdana Menteri...adakah maksudnya sistem mengangkat dirinya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun tidak adil? Ia sistem telus dan wakil pembangkang pun ada (dalam memantau proses pilihan raya).

    "Sistem ini sudah baik dan lancar, kalau tidak bagaimana kita (BN) boleh kalah termasuk di Parlimen Temerloh ini...kita hanya menang satu DUN sahaja iaitu di Lanchang, Mentakab dan Kuala Semantan pembangkang," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Waspada hasutan bermusim pembangkang - PM "