• Warga Filipina Miliki MyKad Palsu Dipenjara, Denda

    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+
    AYER KEROH: Dua lelaki warga Filipina masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki Mykad dan resit laporan kehilangan kad pengenalan palsu, minggu lalu.

    Abdullah Hawaji, 50, dan Umar Baco, 51, dijatuhi hukuman itu selepas kedua-duanya mengaku bersalah di dua mahkamah berasingan.

    Mengikut pertuduhan, Abdullah didakwa di hadapan Majistret Lee Kim Keat atas kesalahan memiliki Mykad palsu atas nama Mohilin Ali yang beralamat di Lahad Datu, Sabah, kira-kira jam 4 pagi di sebuah rumah di Tangga Batu, pada 27 Januari lalu.

    Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Kim Keat kemudian memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama enam bulan bermula tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.

    Sementara itu, di mahkamah berasingan, Umar yang didakwa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh diperintah membayar denda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar, selepas mengaku bersalah memiliki resit kehilangan kad pengenalan palsu di Taman Peruna, Sungai Udang, jam 3 pagi, pada 27 Januari lalu.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Mohd Nasrom Yusof memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran.

    Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu hukuman diringankan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Warga Filipina Miliki MyKad Palsu Dipenjara, Denda "