• Wanita PBB Cadang Calon Wanita Ditambah Pada PRU14

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+


    Majlis Tertinggi Wanita (MTW) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berhasrat mengemukakan permohonan cadangan penambahan bilangan calon wanita terutamanya dari parti tersebut bertanding di kerusi Parlimen di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, (PRU14) akan datang.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, Ketua Pergerakan Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pada ketika ini terdapat empat Ahli Parlimen Wanita daripada PBB iaitu Datuk Seri Nancy Shukri di Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Parlimen Batang Lupar,Rubiah Wang di Parlimen Kota Samarahan manakala Datuk Norah Abdul Rahman di Parlimen Tanjong Manis.

    Menurutnya, cadangan tersebut akan terus dikemukakan namun keputusan terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi Barisan Nasional (BN).

    “Kita boleh sentiasa mengemukakan permohonan (penambahan bilangan calon wanita),

    “Kita akan terus berusaha ke arah itu, tetapi apabila sampai harinya nanti, yang membuat keputusan adalah Perdana Menteri, itu prerogatif beliau sebagai pengerusi BN,” katanya.

    Menjelas lanjut, Fatimah berkata, Pergerakan Wanita PBB mempunyai keahlian seramai 153,962 di seluruh negeri.

    Oleh yang demikian, pemilihan calon daripada PBB haruslah dilakukan secara konsensus melibatkan tiga komponen utama parti iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Bapa,bukannya berdasarkan keputusan satu pihak sahaja.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusi mesyuarat bersama ahli MTW PBB dan Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di pejabatnya di bangunan Baitulmakmur semalam.- Sarawakiana
  • No Comment to " Wanita PBB Cadang Calon Wanita Ditambah Pada PRU14 "