• Wan Alhamdulillah Namaku...

    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+

    Namanya sering menjadi perhatian malah bahan gurauan sesetengah orang namun pemilik nama Wan Alhamdullilah Wan Abdul Rahman tidak pernah kecil hati jauh sekali timbul perasaan marah.

    Bagi ahli perniagaan berusia 43 tahun itu, beliau tidak pernah malu sebaliknya berbangga memiliki nama seunik itu kerana mempunyai maksud baik walaupun agak janggal bagi sesetengah orang.

    Katanya, setiap kali memperkenalkan diri dan menyebut namanya itu, pasti ada yang akan ketawa dan tidak percaya malah menganggapnya berseloroh.

    "Pelbagai reaksi yang saya terima sejak daripada kecil. Ada yang ketawa, ada yang tidak percaya malah ada juga yang menganggap saya bergurau, saya sudah biasa dengan keadaan sedemikian.

    "Namun, keunikan nama itulah menyebabkan orang lebih mudah mengingati saya dan berkat nama baik sedemikian jugalah menjadikan saya seperti mana hari ini," katanya, di sini, hari ini.

    Anak ketujuh dari 11 beradik ini berkata, namanya sebenarnya diberikan oleh seorang ustaz yang merawat ibunya, Mastamah Wartee, 72, yang terjatuh ketika turun daripada bas sewaktu mengandungkannya.

    Ketika itu, katanya, ibunya sedang mengandungkannya tujuh bulan dan risau akan keadaan bayi di dalam kandungan, arwah bapanya membawa ibunya berjumpa seorang ustaz.

    "Mujur kandungan ibu tidak mengalami masalah dan ustaz berkenaan ada berpesan kepada ayah supaya memberikan nama yang baik-baik kepada bayi di dalam kandungan itu.

    "Ayah kemudian meminta ustaz itu memberikan satu nama dan beliau meletakkan nama “Alhamdulillah”, daripada situlah tercetusnya nama saya ini," katanya yang memiliki sebuah syarikat teknologi maklumat, di sini.

    Wan Alhamdulilah berkata, di kalangan keluarganya dia dipanggil dengan nama Lah manakala kebanyakan rakan-rakannya memanggilnya Wan.

    Katanya, di dalam keluarganya hanya dia saja yang mempunyai nama unik sebegitu manakala adik beradiknya memiliki nama yang biasa didengari.

    Bapa kepada empat anak itu juga berkata, Alhamdulillah adalah perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud ‘segala puji bagi Allah’ dan menganggap nama itu mempengaruhi hidupnya selama ini.

    "Nama yang baik akan memberi manfaat dan mempengaruh diri kita ke arah kebaikan, kita patut bersyukur kerana orang memanggil kita dengan maksud yang baik.

    "Malah, saya bersyukur ke atas banyak nikmat yang Allah kurniakan, perniagaan saya juga semakin berkembang dan maju," katanya.

    Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang berkata, sekarang ini anaknya pula menerima tempias akan nama uniknya itu apabila seringkali menjadi perhatian guru dan bertanya berkali-kali bagi memastikan nama itu.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Wan Alhamdulillah Namaku... "