• Wakaf Tanah Perlu Dokumen, Tak Boleh Sekadar Niat - TPM

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+

    BAGAN DATUK: Umat Islam yang berhasrat mewakafkan tanah mereka diminta menyediakan dokumentasi perundangan bagi mengelakkan perkara berbangkit di masa hadapan.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membuat saranan itu berkata, ia antara lain bertujuan mengelakkan pertikaian antara waris mereka di masa hadapan.

    Menurutnya, soal wakaf melibatkan banyak peraturan dan perundangan seperti Kanun Tanah Negara, Baitulmal dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri.

    “Perkara-perkara yang melibatkan perundangan jangan hanya berdasarkan kepada niat, tetapi mesti didokumentasikan ikut perundangan.

    "Iaitu, perundangan Kanun Tanah Negara dan juga perundangan Baitulmal atau perundangan agama Islam negeri-negeri berkenaan.

    "Oleh yang demikian, apa yang perlu, supaya soal wakaf itu dilihat dari segi holistik dan akhirnya umat Islam mesti menerima manfaat daripada wakaf itu,” katanya di sini.

    Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang bersama penduduk setempat selepas melawat Sekolah Rendah Agama Rakyat Al Ridzuan dan Masjid Ubudiah, Parit 19, Hutan Melintang, pada Rabu.

    Tambah beliau, banyak tanah wakaf tidak dapat dibangunkan kerana pertikaian waris, walaupun mempunyai nilai yang tinggi.

    Beliau memberi contoh, ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, nilai tanah wakaf seluruh negara pada 2009 dianggarkan RM9 bilion mengikut harga pasaran, dan percaya nilainya telah meningkat antara 30 dan 50 peratus. - AstroAwani

    Subjects:

  • No Comment to " Wakaf Tanah Perlu Dokumen, Tak Boleh Sekadar Niat - TPM "