• VMY 2020 Misi Nasional

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA: Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020) adalah misi nasional yang akan menjadi pemangkin dan penggerak utama kepada industri pelancongan negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, VMY2020 adalah agenda khusus di bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP), bertujuan memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam industri pelancongan.

    Katanya, Sekretariat VMY2020 yang ditubuhkan di bawah Tourism Malaysia akan menyelaras dan melaksanakan semua program dan aktiviti berkaitan kempen pelancongan itu.

    "Semua kementerian, agensi dan jabatan terbabit sudah bersedia memberikan komitmen sepenuhnya bagi merealisasikan kempen VMY2020," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelancongan di sini hari ini.

    Turut hadir, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Ahmad Zahid berkata, VMY2020 juga bertujuan melonjakkan nama Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan dunia dengan sasaran 36 juta pelancong dan sasaran pendapatan sebanyak RM168 bilion.

    "Tema VMY2020 yang dipilih adalah 'Travel, Enjoy, Respect', selaras dengan kempen kesedaran dijalankan Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO)," katanya.

    Mesyuarat itu turut membincangkan tiga kertas pertimbangan iaitu masalah dihadapi warga Iran untuk menyertai Program Malaysia Rumah Keduaku, penyerahan urusan pengendalian pakej umrah dan ziarah kepada Jabatan Perdana Menteri serta lanjutan tempoh visa bagi pelancong warga Arab Saudi ke Malaysia.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, industri pelancongan kini antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan negara dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.8 peratus atau RM182.4 bilion.

    Katanya, dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), industri pelancongan menjadi penyumbang ketiga terbesar negara dengan sumbangan berjumlah RM73.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar.

    "Dari segi guna tenaga industri pelancongan pula, seramai 3.2 juta orang direkodkan iaitu 22.7 peratus daripada jumlah guna tenaga keseluruhan pada 2016.

    "Selain itu, seramai 25,948,459 pelancong asing direkodkan tiba di Malaysia sepanjang tahun lalu, menurun tiga peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

    Beliau berkata, punca penurunan disebabkan pengurangan ketibaan pelancong dari pasaran negara ASEAN sebanyak 3.9 peratus.

    Katanya, pelancong ASEAN terus mendominasi pasaran pelancongan negara dengan 75.1 peratus daripada keseluruhan jumlah pelancong yang tiba di Malaysia. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " VMY 2020 Misi Nasional "