• Usahawan PKS perlu keluar 'kepompong'

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+


    MIRI: Masih ada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi digital, termasuk kemudahan disediakan kerajaan negeri.

    Menteri Muda Pembangunan Usahawan Kecil dan Sederhana Sarawak, Datuk Naroden Majais, berkata segelintir mereka enggan keluar dari 'kepompong', sebaliknya lebih selesa dengan kaedah konvensional.

    Katanya, keadaan itu amat merugikan usahawan PKS kerana Gagasan Ekonomi Digital perlu dimanfaatkan sebaiknya, khusus dalam memperluaskan skop pasaran produk dan perkhidmatan mereka.

    Ia termasuk mempraktikkan konsep perniagaan secara dalam talian bagi mengetengahkan produk dan perkhidmatan ditawarkan ke pasaran global, seiring konsep dunia tanpa sempadan hari ini.

    "Dunia semakin berubah, dengan kemajuan ICT di peringkat global mewujudkan pelbagai peluang untuk kita manfaatkan, terutama dalam memperkukuhkan operasi perniagaan masing-masing, termasuk PKS.

    "Sejumlah RM1 bilion diperuntukkan kerajaan negeri bagi meningkatkan kemudahan telekomunikasi, khususnya di pedalaman dan luar bandar bagi mendokong gagasan berkenaan," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemasaran Secara Atas Talian Bersama Komuniti PKS Miri, di sini, semalam.

    Naroden berkata, 'anak Sarawak' seharusnya mempersiapkan diri dalam mendepani cabaran baharu era digital, terutama dalam menjayakan agenda pemerkasaan sosio-ekonomi melalui Gagasan Ekonomi Digital.

    "Jika kita enggan berubah atau menerima perubahan, kita akan ketinggalan kerana kajian menunjukkan teknologi ICT, khususnya internet sentiasa berubah setiap enam bulan. Bayangkan, cukup pantas perubahan berlaku dalam era digital," katanya.

    Katanya, perkembangan pantas dunia digital memerlukan pemahaman semua rakyat, khususnya mereka yang terbabit dalam industri perniagaan.

    "Teknologi internet sudah mengubah cara dan budaya kerja masyarakat dunia, terutama mereka yang berkecimpung dalam dunia perniagaan," katanya.-hmetro
  • No Comment to " Usahawan PKS perlu keluar 'kepompong' "