• Usah Dibuai Nostalgia Pemimpin Lama - KJ

    Published: Saturday, 3 February 2018
    A- A+
    LANGKAWI: Pengundi muda tidak perlu terlalu bernostalgia dengan pemimpin lama, sebaliknya memandang ke hadapan memberikan mandat kepada kepemimpinan sedia ada pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

    Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin, berkata apa yang telah berlalu perlu dijadikan sempadan dan panduan untuk berhadapan dengan masa depan yang lebih gemilang, bukan menyokong pihak yang hanya untuk memenangi pilihanraya bertujuan membalas dendam.

    "Memang kita tidak dapat nafikan pembangunan Langkawi adalah hasil usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tapi PRU-14 bukan waktu untuk bernostalgia dengan kepemimpinan lama.

    "Malah, Pemuda BN berusaha untuk menghasilkan manifesto kecil dinamakan 'Tawaran Baru Untuk Pengundi Muda' yang pasti akan memberi faedah kepada rata-rata golongan muda di negara ini," katanya ketika berucap pada program Dialog Santai Anak Muda Langkawi di Kompleks Sukan di sini, malam tadi.

    Kira-kira 500 belia hadir pada program itu.

    Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, generasi muda yang celik minda jangan mempertaruhkan masa depan mereka kepada pemimpin yang hanya tahu bercakap sebaliknya tiada kemampuan untuk memenuhi kehendak rakyat.

    "Kita sedia maklum Langkawi dibangunkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, tapi kita perlu ingat ketika itu Tun adalah Perdana Menteri dan mempunyai kemampuan berbuat demikian pada ketika itu dan zaman itu sudah berlalu.

    "Oleh itu, generasi muda perlu memberi sokongan kepada pemimpin yang senada dan selari dengan kepemimpinan pusat kerana jelas memiliki segala kemampuan untuk memenuhi aspirasi, tuntutan dan kehendak golongan muda," katanya.

    Mengulas lanjut mengenai manifesto khusus untuk golongan muda, Khairy berkata manifesto itu adalah aku janji yang akan menyediakan beberapa tawaran baharu kepada pengundi muda termasuk pekerjaan, latihan dan pendidikan, keusahawanan, kemudahan untuk orang muda serta perumahan.

    "Insya-Allah dalam PRU-14 ini akan menjadi satu sejarah baharu kepada BN apabila manifesto khusus untuk orang muda akan diperkenalkan," katanya.

    Yang turut hadir dan berucap pada program itu ialah Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid; ADUN Kuah, Nor Saidi Nanyan; dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Usah Dibuai Nostalgia Pemimpin Lama - KJ "