• Unik Dari Sarawak, Aiskrim Gula Apong Kini Di KL

    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Sekiranya berkunjung ke Kuching, aiskrim gula apong mesti menjadi makanan menarik yang wajib anda cuba.

    Namun kini anda tidak perlu bersusah payah lagi kerana ia boleh didapati di DP Ice Cream Gula Apong, Kampung Baru.

    Kedai kecil milik Masitah Paruwadi, 30, di tepi Hospital Pakar Al Islam sudah beroperasi sejak Mei 2017.

    “Ia adalah cawangan pertama di luar Sarawak,” katanya kepada ProjekMMO.

    “Kami ingin memperkenalkan aiskrim gula apong di Kuala Lumpur dan alhamdulillah sambutan agak menggalakkan.”

    Berbeza daripada gula biasa, gula apong terhasil daripada nira pokok nipah atau dikenali sebagai pokok apong oleh penduduk Sarawak.

    Di kedai ini, pelanggan boleh mencuba aiskrim gula apong biasa atau ditambah hiasan Oreo, kacang, Nestum dan emping jagung.

    Pada waktu tertentu pula, misalnya di hari minggu, mereka juga menyediakan perisa istimewa seperti aiskrim gula apong teh hijau.

    Harga satu kon biasa aiskrim gula apong RM2, cawan kecil RM3 dan cawan besar RM6. Tambahan di atas tidak dikenakan sebarang caj.

    “Secara keseluruhannya, kami berjaya menjual 250 hingga 300 cawan sehari,” kata Masitah, juga dikenali sebagai Zaza.

    Terletak di 57B-4, Jalan Daud, kedai DP Ice Cream Gula Apong dibuka setiap hari dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

    Ia terletak hanya 60 meter dari Masjid Jamek Kampung Baru dan berdekatan Ayam Bakar Wong Solo.

    Bermula dengan modal RM14,000 untuk memulakan perniagaan di Kuching, syarikat Masitah merancang membuka cawangan baru di Sungai Buloh.

    DP Ice Cream Gula Apong memiliki lapan cawangan di Sarawak, antaranya di Uptown Civic Center (Kuching), Junrong Sukma (Petrajaya) dan Tabuan Park.

    Cawangan lain termasuklah di Kapit Hotel (Jalan Padungan, Kapit), Junrong Sukma (Petrajaya) dan Taz Kolej (Universiti Malaysia Sarawak).

    Turut menyediakan khidmat katering, syarikat ini boleh disemak melalui Facebook DP Ice Cream Gula Apong atau hubungi 016 878 0888. - MalayMail

    Subjects:

  • No Comment to " Unik Dari Sarawak, Aiskrim Gula Apong Kini Di KL "