• Ultraman Masak 2 Jam Jadi Tarikan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+

    KUALA TERENGGANU: Sebuah kedai makan di Jalan Pasir Panjang di sini, menjadi tumpuan orang ramai sejak seminggu lalu susulan kemunculan Ultraman yang dilihat memasak dan menghantar pesanan pelanggan.

    Adiwira kegemaran kanak-kanak itu dilihat tidak kekok berperang dengan kuali, malah turut menyediakan masakan Barat berasaskan ayam, daging selain kambing yang enak.

    Kemunculan adiwira itu berlangsung hanya untuk dua jam di kedai makan berkenaan pada setiap Selasa dan Khamis.

    Muhammad Nor Faiz, 23, berkata, dia tampil dengan idea mengenakan kostum Ultraman sebagai sebahagian cara merancakkan perniagaannya yang dimulakan sejak lima bulan lalu.

    “Ketika mula-mula kedai makan ini dibuka, ia kurang mendapat sambutan hinggalah saya tampil dengan kostum adiwira ini dan kemudian sambutan diterima sangat menggalakkan terutama dalam kalangan kanak-kanak.

    “Ramai rakan menganggap idea ini mengarut tetapi Alhamdulillah selepas seminggu, sambutannya sangat baik.

    “Kemunculan adiwira ini hanya pada Selasa dan Khamis dari jam 7 malam hingga 9 malam,” katanya ketika ditemui di kedainya dikenali Warung Martin Muay Thai Corner di Kampung Gelong Mak Sulong, Jalan Pasir Panjang di sini.

    Muhammad Nor Faiz berkata, dia membeli kostum itu secara dalam talian dari Johor Bahru dengan harga RM1,500.

    Katanya, kostum itu juga digunakannya untuk persembahan bagi program jemputan di sekolah selain majlis perkahwinan.

    “Patung Ultraman bersaiz kecil turut diagihkan secara percuma kepada kanak-kanak untuk menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ultraman Masak 2 Jam Jadi Tarikan "