• Tukang Sapu Paling Berani Di Dunia

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+

    HUAYIN, CHINA: Sekumpulan tukang sapu di sini boleh dianggap yang paling berani di dunia kerana membersihkan satu laluan sempit di tebing gunung setinggi 2,133 meter.

    Pada setiap musim sejuk kumpulan ini tinggal di Gunung Huashan di wilayah Shaanxi untuk membersihkan satu laluan purba seluas 29 sentimeter daripada salji.

    Satu rakaman video menunjukkan bagaimana pekerja itu membersihkan laluan purba sepanjang 50 meter yang menjadi tarikan utama pelancong ke wilayah itu.

    Seorang pekerja memberitahu, mereka perlu membersihkan laluan itu setiap kali salji turun untuk memastikan ia selamat.

    Katanya, mereka menggunakan penyodok untuk memecahkan salji sebelum menggunakan penyapu besar untuk membersihkannya.

    Setiap pekerja wajib memakai tali keselamatan tetapi mereka tetap berisiko terjatuh kerana laluan itu sangat licin.

    Walaupun pekerjaan itu sangat bahaya, pekerja itu biasanya tinggal di gunung berkenaan dan hanya pulang ke rumah seminggu sekali.

    Laluan yang dibina pada kurun ke-13 itu menarik ribuan pelancong dari seluruh dunia pada setiap tahun.

    Jalan itu yang menghubungkan sebuah gua dipercayai dibina oleh seorang sami yang mahu bertapa di kawasan berkenaan.

    Hari ini, laluan itu terdiri daripada beberapa tangga dan laluan sempit menuju ke gua berkenaan.

    Setiap pelancong perlu memakai tali keselamatan untuk berjalan di laluan yang diperbuat daripada kayu itu.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Tukang Sapu Paling Berani Di Dunia "