• Tujuh Penculik Termasuk Polis Bantuan Berdepan Hukuman Mati

    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+


    SHAH ALAM - Padah menimpa kepada tujuh penculik termasuk dalang utama yang merupakan polis bantuan apabila berdepan hukuman mati mandatori selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang pengurus syarikat pengangkutan, tahun lalu.

    Polis bantuan itu S.R. Jevan, 42 bersama S. Surendran,35; S. Mohan,33; S. Prakhas,34; A. K. Muniandy,60; P. Uthaya Kumar,25 dan seorang warga Bangladesh, Barique,37, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.


    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selain wang ikat jamin ditawarkan terhadap semua tertuduh.

    Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama seorang lagi tertuduh yang telah didakwa telah menculik seorang lelaki bernama P. Pratap, 35, dengan tujuan mendapatkan wang tebusan sebanyak RM300,000.

    Kesalahan itu dilakukan di Jalan 1B/8 Bandar Baru Sungai Buloh pukul 9.10 malam pada 12 Disember tahun lalu.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori atau dipenjara seumur hidup dan jika dikenakan penjara boleh dikenakan sebatan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (365) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Affendi.

    Sementara Peguam S.S ruben dan P. Prakasam mewakili Muniandy, Peguam K. Lavinia bagi Mohan dan Dennis Pereira untuk Jevan. Empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula.

    Kosmo! hari ini melaporkan polis me­numpaskan kumpulan penculik didalangi seorang polis bantuan di sebuah kementerian di Putrajaya
    dengan tertangkapnya 29 individu termasuk lima wanita dalam serbuan berasingan sejak 3 Januari hingga 31 Januari lalu.

    Serbuan dilakukan di sekitar Ne­geri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur itu melibatkan suspek berusia 20 hingga 60 tahun. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Tujuh Penculik Termasuk Polis Bantuan Berdepan Hukuman Mati "