• Topi Keledar 'Kura-kura' Bahayakan Pemakai

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+


    LANGKAWI: Hentikan memakai topi keledar `kura-kura' kerana ia tidak menjamin keselamatan dan boleh menyebabkan kecederaan serius jika terbabit kemalangan.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, Chan Pei Hong, berkata ini kerana topi keledar separuh itu tidak mendapat kelulusan Sirim Berhad (SIRIM).

    Katanya, topi keledar jenis itu hanya berbentuk menarik serta cantik berbanding topi keledar biasa tetapi tidak menjamin keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal.

    "Saya perhatikan ramai remaja masih memilih untuk memakai topi keledar jenis 'kura-kura' bagi menunjukkan mereka berada dalam aliran semasa.

    "Namun, pemakaian topi keledar jenis itu sangat berbahaya kerana ia tidak mempunyai piawaian SIRIM," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya anjuran bersama JKJR, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Allianz General Insurance Company (M) Berhad (Allianz) di sini, hari ini.

    Dalam kempen kira-kira satu jam di hadapan pasar raya di sini, sebanyak 30 topi keledar, 500 pelekat pantul cahaya, 50 baju hujan dan 10 kerusi keselamatan khas untuk kanak-kanak diedarkan kepada orang ramai oleh 10 kakitangan JKJR, JPJ dan Allianz cawangan Alor Setar.

    Pei Hong berkata, pihaknya mengadakan lebih 250 kempen advokasi sama di seluruh Kedah bagi mendidik orang ramai mengenai aspek keselamatan jalan raya, tahun lalu.

    "Tahun ini, kita menyasarkan jumlah kempen yang sama, selain penganjuran program komuniti di institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam menyedarkan golongan muda mengenai keselamatan jalan raya.

    "JKJR juga mahu pengguna mempraktikkan disiplin dan budaya berhemah ketika berada di jalan raya, mematuhi peraturan dan menghormati pemandu lain," katanya. - BH

    Subjects:

    Nasional
  • No Comment to " Topi Keledar 'Kura-kura' Bahayakan Pemakai "