• Tindakan Sarawak Boleh Aib, Bunuh Semangat Pemain

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tindakan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) membuat kenyataan terbuka berhubung dakwaan rasuah membabitkan pasukan Liga Perdana negeri itu dianggap boleh menjatuhkan maruah dan membunuh semangat pemain.

    Bekas pemain pasukan negeri berkenaan, Affendi Julaihi berkata FAS sepatutnya melakukan siasatan secara 'senyap' untuk mencari kesahihan dakwaan itu tanpa perlu menghebahkan kepada umum.

    "Saya melihat tindakan FAS itu sebagai kurang bijak kerana dakwaan berkenaan belum terbukti. Sepatutnya mereka menyiasat terlebih dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

    "Malah, jika terbukti ada unsur rasuah sekali pun, ia tidak perlu dihebohkan. Cukup mereka membuat aduan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) serta mengambil tindakan ke atas pemain yang terbabit.

    "Inilah pendekatan yang diambil oleh Allahyarham Datuk Taha Ariffin ketika beliau menjadi Presiden PBS dulu. Apa saja masalah yang berlaku dalam pasukan Sarawak, beliau tangani secara dalaman dan profesional," kata bekas pemain kebangsaan itu.

    Isu rasuah membabitkan pasukan Sarawak tercetus susulan kekalahan 2-3 kepada FELCRA FC pada perlawanan, Sabtu lalu dengan tiga gol lawan dijaringkan oleh pemain import, Anselmo Arruda da Silva pada lima terakhir perlawanan.

    Begitu pun, Affendi yang pernah menyarung jersi Sarawak pada tahun 1990 hingga 2000 beranggapan situasi yang berlaku itu bukan sesuatu yang pelik dalam bola sepak kerana ia pernah dialami oleh pasukan hebat seperti AC Milan dan Bayern Munich.

    "Mungkin Sarawak yang sedang mendahului 2-0 sudah berasa selesa dengan kedudukan itu sehingga hilang tumpuan pada hujung permainan menyebabkan mereka melepaskan tiga gol pada minit-minit akhir.

    "Kita tidak boleh terus menuduh pemain rasuah bila mengalami kekalahan sebegini. Siasat dulu apa puncanya, betul atau tidak mereka jual perlawanan.

    "Tapi, apabila kita menghebohkan tanpa bukti, ia bukan saja menjatuhkan maruah pemain malah boleh membunuh moral serta semangat mereka apatah lagi jika dakwaan itu tidak benar."

    Ia sudah pasti secara tidak langsung akan menjejaskan prestasi pasukan," kata Affendi yang kini adalah Bendahari Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Sarawak (PBPBS). - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Tindakan Sarawak Boleh Aib, Bunuh Semangat Pemain "