• Tiga Rakyat Malaysia, Seorang Warga Taiwan Ditahan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+

    BANGKOK - Tiga suspek rakyat Malaysia dan seorang warga Taiwan yang mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan pusat panggilan rentas sempadan ditahan di sini semalam berikutan serbuan bersama oleh Polis Thailand dan Kemboja..

    Polis Thailand percaya ketiga-tiga rakyat Malaysia termasuk wanita berusia 20 tahun, dan warga Taiwan itu diupah oeh sindiket tersebut untuk mengeluarkan wang daripada dua mangsa rakyat tempatan.

    "Kami menemukan dua kad ATM milik kedua-dua mangsa yang membuat laporan polis baru-baru ini kerana mendakwa mereka ditipu dan mengalami kerugian berjumlah sehingga 6.19 juta Baht (RM793,000)," kata ketua pasukan petugas Thailand anti penipuan elektronik, Jen Thanisak Teerasawat, semalam.

    Menurut beliau, polis juga menemukan lapan lagi kad ATM, wang tunai 232,000 Baht (RM29,743) dan beberapa mata wang asing yang lain serta lima kad SIM dari dua lelaki dan seorang wanita rakyat Malaysia masing-masing berusia 19 dan 20 tahun serta warga Taiwan berusia 34 tahun.

    Empat rakyat asing itu ditahan sebagai sebahagian daripada operasi susulan operasi bersama melibatkan Polis Thailand dan Kemboja di Phnom Penh dan Sihanoukville minggu lepas apabila 26 rakyat Thailand, enam warga Taiwan dan lima rakyat Kemboja ditahan oleh pihak berkuasa.

    Menurut pegawai polis Thailand berpangkat tinggi minggu lepas, 37 suspek tersebut adalah sebahagian daripada sindiket penipuan pusat panggilan yang bertanggungjawab menipu pelbagai mangsa rakyat Thailand membabitkan hampir 100 juta Baht (RM12.8 juta).

    Mereka percaya sindiket penipuan rentas sempadan itu didalangi oleh rakyat Thailand, Malaysia dan Taiwan tetapi berpusat di Kemboja.

    Sementara itu, Thanisak berkata, dalam tempoh dari 8 Dis. tahun lepas sehingga semalam, Polis Thailand telah menahan 231 suspek yang dikehendaki kerana terlibat dalam penipuan pusat panggilan membabitkan kerugian kewangan sehingga 187 juta Baht (RM24 juta). - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tiga Rakyat Malaysia, Seorang Warga Taiwan Ditahan "