• Tidak Realistik Jangka AS Sertai TPP Kembali

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menjangkakan Amerika Syarikat (AS) akan menyertai kembali perjanjian Perjanjian Trans-Pasifik (TPP) selepas menarik diri daripada perjanjian itu awal tahun lalu.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pandangan Presiden AS, Donald Trump terhadap perjanjian perdagangan adalah banyak perjanjian tidak memberi kelebihan kepada negara itu.

    Beliau menganggap Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan TPP sebagai perjanjian yang tidak menguntungkan.

    "Justeru, adalah tidak menghairankan jika TPP yang kini dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak menepati kehendak negara itu.

    "Trump juga berkata akan menimbang untuk menyertai semula TPP jika terma perjanjian itu ditambah baik. Namun, Malaysia sebenarnya sudah pergi sangat jauh dalam (memenuhi terma TPP) dan sudah sampai ke had maksimum.

    "Maksudnya di sini ialah Malaysia sudah tidak boleh berkompromi lagi dalam TPP," katanya pada sidang media selepas membentangkan prestasi perdagangan Malysia tahun 2017 di sini, sebentar tadi.

    Trump ketika diwawancara oleh CNBC di luar Forum Ekonomi Dunia pada akhir bulan lalu berkata yang beliau sedia untuk sertai TPP semula jika terma perjanjian itu ditambah baik berbanding perjanjian sedia ada.

    Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan tidak menjangkakan AS akan kembali sertai TPP.

    "Tidak realistik untuk menjangkakan pentadbiran AS di bawah pemerintahan Presiden Donald Trump akan menyertai kembali TPP," katanya.

    CPTPP yang dianggotai oleh 11 Negara anggota TPP dijadual memuktamadkan perjanjian baharu tanpa penyertaan AS itu pada bulan depan yang dijangka diadakan di Chile. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tidak Realistik Jangka AS Sertai TPP Kembali "