• Tidak Mengaku Baling Cawan Pada Suami

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+

    Suri rumah warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan mencederakan suaminya, dua tahun lalu.

    Tertuduh Thi Diem Huong, 20, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan Chong Pheng Lit, 27, dengan membaling cawan dan plug elektrik ke arah mangsa di Rumah Awam Paya Rumput pada7.30 malam, 30 Oktober 2016.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan hukuman dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM4,000, atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh yang juga warga asing,

    Bagaimanapun, Muhammad Azri mencadangkan jumlah jaminan tinggi serta menetapkan syarat dua penjamin warga tempatan, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport sekiranya mahkamah mahu membenarkan jaminan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Yong Ii Yang merayu jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menjaga anak perempuan berusia tiga tahun dan masih tinggal serumah dengan suaminya.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap minggu dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tidak Mengaku Baling Cawan Pada Suami "