• Tiada Rundingan Sehingga Pengiktirafan Ditarik Balik

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+


    RAMALLAH: Perunding atasan Palestin berkata kelmarin, tiada perbincangan dengan pentadbiran Presiden Donald Trump sehingga pengiktirafan beliau ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, ditarik balik.

    Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan ketua perunding sekian lama Palestin, Saeb Erekat dalam temu bual dengan AFP berkata, keputusan itu adalah 'sebahagian era baharu Amerika Syarikat (AS) yang bergerak daripada rundingan kepada arahan'.

    Pengiktirafan Trump 6 Disember lalu mencetuskan bantahan dalam kalangan penduduk Palestin, yang menganggap Baitulmaqdis sebagai ibu kota akan datang mereka.

    Komen Erekat disusuli retorik yang mengeruhkan lagi hubungan Rumah Putih dengan Palestin, yang mengatakan AS tidak layak menjadi perantara konflik Asia Barat, selain memboikot lawatan Naib Presiden Mike Pence.

    Minggu lalu, Trump menuduh Palestin tidak menghormati AS, diikuti penggantungan ratusan juta dolar wang bantuan sehingga mereka kembali ke meja rundingan.

    Menurut Erekat, penduduk Palestin berdepan apa yang mereka lihat pentadbiran amat berat sebelah AS, menyasar mengumpul pertemuan pada peringkat antarabangsa dalam usaha menunjukkan sokongan global terhadap penyelesaian dua negara.

    Ditanya sama ada hubungan dengan pentadbiran Trump diteruskan jika keputusan Baitulmaqdis tidak ditarik balik, Erekat berkata: "Bagaimana mungkin?"

    "Anda mendengar apa yang Presiden Trump katakan di Davos. Beliau berkata: 'Kami menarik isu Baitulmaqdis keluar daripada perbincangan ini.'

    "Sebaik Palestin bertemu pegawai AS, ia adalah penerimaan keputusan mereka. Kini mereka mengugut kami dengan wang, dengan bantuan," katanya.

    Erekat berkata, ia seolah-olah AS memberitahu Palestin, "Mari sini, kami tahu apa yang baik untuk anda." -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Rundingan Sehingga Pengiktirafan Ditarik Balik "