• Tiada Masalah Lakonan Separuh Bogel

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Eksekutif produser dan pelakon utama filem Amazing Titanman, Jaguar Lim mengakui tidak ada masalah muncul separuh bogel demi menjayakan kisah sains fiksyen itu.

    “Dalam filem ini, saya berlakon sebagai makhluk asing dari Planet Titan yang melawat bumi.

    “Filem ini idea saya sepenuhnya dan ingin menampilkan kelainan. Jadi, saya perlu beranikan diri untuk lakonkan babak tidak berpakaian,” katanya selepas pratonton Amazing Titanman, semalam.

    Jelas Lim, asalnya dia merancang membeli kostum adiwira di Jepun dan Amerika Syarikat namun terpaksa membatalkan hasrat itu selepas mendapati harganya terlampau mahal.

    “Selepas berbincang dengan pengarah, saya mengambil keputusan untuk tampil separuh bogel kerana selalunya dalam filem, makhluk asing apabila turun ke bumi tidak berpakaian.

    “Saya tidak takut mahupun malu kerana menganggap ia sebagai seni,” katanya.

    Dalam pada itu, Lim berharap penonton dapat menerima baik filem terbabit yang akan ditayangkan pada 22 Februari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina.

    Amazing Titanman diarahkan Eddie Tiger mengisahkan pegawai NASA dari Amerika Syarikat menyiasat kehadiran makhluk asing yang dikatakan berada di Malaysia untuk mencari kebahagiaan.

    Turut membintangi filem itu, Azman Hassan, Jordan Voon, Rosa Chong, Namewee dan model Iran, Mehrdad Razavi Mozart.

    Filem itu juga akan ditayangkan di Hong Kong dan Taiwan pada Mac ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Masalah Lakonan Separuh Bogel "