• Tiada Lagi 'Laluan Terputus' Di Jalan Kapit - Sibu

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+


    KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM150 juta bagi membina jalan pintas untuk mengatasi 'rangkaian jalan yang terputus' atau 'missing link' dalam projek pembinaan Jalan Kapit - Sibu.

    Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dengan peruntukkan berkenaan, projek itu dijadual bermula hujung bulan ini.

    Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan dalam dua pakej iaitu dari Temalat ke Nanga Ngemah sepanjang 9.6 Kilometer (km) dan dari Nanga Ngemah hingga ke Nanga Ngungun sepanjang 5.1 km.

    "Ini bermakna, apabila dua dua pakej itu dilaksanakan tidak lama lagi, tiada lagi missing link dalam projek jalan berkenaan," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bersama Perancangan dan Pemantauan Projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) - Kerajaan Sarawak, di sini, hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Menteri KKLW, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

    Ismail Sabri berkata, kontraktor projek berkenaan sudah dilantik dan dijadual memulakan kerja di tapak pada 20 Februari ini.

    Pelaksanaan projek itu adalah seperti dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Penutupan Gawai Dayak di Rumah Panjang Bengau, Sungai Sut, Baleh, pada 2015.

    Mengenai mesyuarat kementeriannya dengan kerajaan negeri, Ismail Sabri berkata, ia adalah inisiatif Jawatankuasa Tinggi Bersama yang dipengerusikan beliau bersama Uggah, untuk memantapkan penyelarasan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan luar bandar.

    Beliau berkata, penyelarasan itu perlu bagi memastikan peruntukan besar disalurkan ke Sarawak dimanfaatkan sepenuhnya untuk kumpulan sasar di luar bandar.

    "Dalam Bajet 2018, Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM1.102 bilion, iaitu 28.48 peratus daripada keseluruhan peruntukan diterima KKLW berjumlah RM9.48 bilion.

    "Kita akan memastikan peruntukan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar, Program Jalan Kampung dan Program Ameniti Sosial," katanya.

  • No Comment to " Tiada Lagi 'Laluan Terputus' Di Jalan Kapit - Sibu "