• Terpaksa Berpisah Dengan Kojek

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+

    JAKARTA: Selepas dipelihara selama 21 tahun sehingga dianggap sebagai keluarga sendiri, akhirnya seorang lelaki terpaksa melepaskan seekor buaya yang menjadi haiwan kesayangannya.

    Kelmarin pejabat pemuliharaan sumber alam Jawa Barat merampas buaya seberat 200 kilogram yang dibela Irwan di rumahnya, dekat sini.

    Proses memindahkan buaya yang diberi nama Kojek itu berlangsung pilu apabila Irwan dan ahli keluarga termasuk jirannya menangisi pemergian haiwan itu.

    Seorang pegawai pemuliharaan sumber alam, Ajat Sudrajat memberitahu, buaya termasuk dalam senarai haiwan dilindungi undang-undang.

    “Sebab itu buaya ini tidak boleh dipelihara oleh orang ramai,” katanya.

    Ujarnya, buaya itu akan dihantar ke Taman Safari Indonesia di Bogor.

    Sementara itu, Irwan berkata, dia pada mulanya enggan menyerahkan Kojek tetapi selepas diberi penerangan oleh pegawai pemuliharaan dia akhirnya akur.

    “Saya sedih kerana terpaksa berpisah dengan Kojek tetapi saya reda asalkan ia dipelihara dengan baik di sana,” katanya.

    Kisah Irwan bersama buaya kesayangannya itu tular di media sosial selepas satu video menunjukkan dia memandikan dan menggosok badan haiwan itu di rumahnya.

    Irwan memberitahu, dia membeli buaya itu ketika ia masih kecil bagi menyelamatkannya selepas termasuk ke dalam jaring nelayan.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Terpaksa Berpisah Dengan Kojek "