• Terminal Pengangkutan Sungai Di Sarawak Akan Dinaik Taraf

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+
    SIBU: Kerajaan negeri akan menaik taraf dan menjadikan kemudahan terminal pengangkutan sungai lebih moden dalam usaha meningkatkan lagi aspek keselamatan serta keselesaan orang ramai.

    Menteri Muda Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata kerja-kerja menaik taraf kemudahan tersebut akan dimulakan sebaik sahaja permohonan peruntukan RM34 juta menerusi kajian semula pertengahan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) diluluskan.

    "Kemudahan-kemudahan terminal 'pengangkutan sungai perlu dinaik taraf dan dijadikan lebih moden kerana pengangkutan sungai masih penting bagi rakyat," katanya selepas meninjau keadaan Terminal Penumpang Sibu petang ini.

    Beliau berkata adalah lebih mudah bagi mereka yang tinggal di sepanjang sungai di Sarawak termasuk Sungai Rajang dan Sungai Baram menggunakan bot ekspres atau bot laju sebagai pengangkutan.

    Katanya sebaik sahaja kemudahan sudah dinaik taraf, ia akan memudahkan orang ramai membeli tiket, menunggu dengan lebih selesa dan menaiki bot dengan selamat menuju ke destinasi masing-masing.

    Dr Jerip berkata Terminal Penumpang Sibu iaitu terminal tersibuk di Sarawak dan mengendalikan kira-kira 600,000 penumpang setiap tahun, turut akan dinaik taraf dengan anggaran kos RM6 juta.

    Terdahulu beliau yang meninjau terminal penumpang di Sarikei, berkata kerja-kerja menaik taraf terminal itu perlu dilakukan dengan segera dan peruntukan RM750,000 juga sudah diluluskan kerajaan.

    Sementara itu, beliau berkata Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) sentiasa memberi penekanan terhadap aspek keselamatan kepada penumpang dan pengusaha bot melalui kempen-kempen yang diadakan setiap tahun. -- BERNAMA

  • No Comment to " Terminal Pengangkutan Sungai Di Sarawak Akan Dinaik Taraf "