• Tentera Patahkan Cubaan Bawa Masuk Pendatang Asing Di Mongkos

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+


    SERIAN: Pasukan tentera berjaya menghidu taktik seorang lelaki warga tempatan yang cuba membawa masuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini menggunakan jalan tikus ketika sedang melakukan rondaan di sekitar Ladang Sawit Tetangga Akrab, Mongkos dekat sini semalam.

    Hasil rondaan Kumpulan Ronda Berkenderaan dari Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sekitar jam 11.59 pagi semalam mendapati lelaki berkenaan bersama tujuh PATI melalui jalan tikus tersebut dengan menaiki motosikal.

    Jurucakap Briged Ketiga Infantri Malaysia berkata, suspek berjaya dikesan oleh sepasukan lapan anggota Batalion Ke-11 RAMD yang sedang menjalankan operasi rondaan di sekitar kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia ketika sedang menyeberangi parit di lorong tikus yang terdapat dalam ladang berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan, seorang lelaki warga tempatan bersama tujuh PATI yang berusia 18 hingga 30 tahun itu berasal dari Kampung Sungai Beruang, Indonesia.

    “Tujuan mereka menyelinap masuk ke sempadan Malaysia melalui lorong tersebut adalah bertujuan untuk bekerja di Kampung Tong Nibong di sini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini pagi tadi.

    Mengulas lanjut beliau berkata, empat motosikal tanpa nombor pendaftaran, satu tong gas dan tiga beg pakaian telah dirampas daripada suspek.

    Sehubungan itu, kes tangkapan PATI bersama barang rampasan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian petang semalam untuk tindakan selanjutnya.-Sarawakiana


  • No Comment to " Tentera Patahkan Cubaan Bawa Masuk Pendatang Asing Di Mongkos "