• Tanah Runtuh Di Sarikei

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+

    Rutin harian penduduk setempat sedikit terjejas berikutan insiden tanah runtuh di Jalan Pakan berhampiran Rumah Panjang Jantan, Genting Kopi, Sarikei, hari ini.

    Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira 8 pagi tadi.

    Tinjauan di lokasi kejadian mendapati sebahagian besar laluan berkenaan dilitupi tanah runtuh dan hanya dapat dilalui kenderaan kecil, termasuk motosikal.

    Ketika ini, kerja-kerja membersihkan sisa tanah runtuh sedang giat dilakukan oleh agensi berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Ketua Balai Bomba dan Penyelanat Bintangor, Nicholas Belulin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.17 pagi oleh orang awam sejurus melihat gelongsoran tanah berlaku.

    Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja pemantauan.

    "Tanah runtuh telah menutupi hampir keseluruhan laluan berkenaan dan hanya boleh digunakan kenderaan kecil, khususnya motosikal.

    "Kita sudah menempatkan pegawai dan anggota di lokasi kejadian bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk risiko runtuhan susulan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal tidak menolak kemungkinan struktur tanah di lokasi kejadian tidak begitu stabil disebabkan hujan lebat yang berterusan sejak lima hari lalu.

    Sementara itu, hujan lebat sejak semalam mengakibatkan beberapa kawasan termasuk sebuah sekolah rendah dinaiki air.

    Difahamkan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Wak Pakan ditenggelami air sedalam kira-kira dua meter.

    Pemantauan rapi sedang dilakukan di kawasan berkenaan.-myMetro
  • No Comment to " Tanah Runtuh Di Sarikei "