• 'Tak Pernah Bagi Pada China'

    Published: Saturday, 3 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya tanah Hutan Simpan Bukit Nanas diberi kepada syarikat China melalui firma 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sebagai tidak berasas.

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata hutan simpan berkeluasan kira-kira 9.3 hektar yang dijadikan 'nadi hijau' Kuala Lumpur itu masih kekal, malah pengurusan tidak menerima sebarang permohonan pembatalan statusnya.

    Bagaimanapun, katanya, kawasan sekeliling hutan simpan berkenaan mempunyai tanah persendirian yang boleh dimajukan untuk pelbagai tujuan pembangunan.

    "Hasil semakan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati 16 hak milik tanah di sekitar hutan simpan ini dipindah milik pada 29 September 2017 dari City Centre Sdn Bhd kepada Malola Garden City Sdn Bhd (MGCSB).

    "Kita ingin tegaskan pemilikan Tanah Hutan Simpan Bukit Nanas tidak pernah diberi kepada mana-mana pihak sehingga kini.

    "Tanah yang dimaksudkan berkemungkinan merujuk kepada kawasan milik persendirian sekitar kawasan Hutan Simpan Bukit Nanas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau mengulas dakwaan aktivis yang juga ahli seumur hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Zaienal Abidin Omar, menerusi akaun Facebook, pada 30 Januari lalu, kononnya warisan negara, Hutan Simpan Bukit Nanas, akan lenyap kerana bakal diberikan kepada China menerusi anak syarikat 1MDB, selain menyertakan slogan 'Hidup Melayu'!

    Wan Junaidi berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima cadangan MGCSB untuk menaik taraf galeri interaktif Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur, dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Nanas.

    Katanya, usaha sama awam dan swasta membabitkan nilai peruntukan pembinaan bangunan baru, RM20 juta atas tapak galeri itu akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat MGCSB.

    "Syarikat berkenaan (MGCSB) ialah pemilik tanah bersebelahan dengan galeri interaktif ini yang akan membangunkan tanahnya sebagai pusat komersil.

    "Pihak syarikat memohon untuk menggunakan sebahagian bangunan yang dibina bernilai RM20 juta ini sebagai pejabat pemasaran selama 10 tahun.

    "Sehingga kini, mesyuarat diadakan di peringkat NRE untuk membincangkan mengenai cadangan syarikat terbabit, namun tiada keputusan muktamad dibuat mengenai permohonan ini," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Tak Pernah Bagi Pada China' "