• Sweden turut bantah resolusi EU sekat minyak sawit

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Sweden mengikut jejak Perancis menentang resolusi Kesatuan Eropah (EU) yang menyasarkan pengharaman biodiesel sawit daripada campuran tenaga EU selepas 2020.

    Duta Besar Sweden ke Malaysia, Dag Juhlin-Dannfelt dipetik The Malaysian Reserve (TMR) menyifatkan cadangan EU itu bersifat diskriminasi.

    “Sweden dan banyak negara Eropah lain yang merupakan negara anggota EU menentang sebarang bentuk diskriminasi.

    “Itu termasuk sebarang rancangan yang akan mendiskriminasi produk lain,” katanya pada pengumuman Sidang Kemuncak Perniagaan Sweden-Asia Tenggara ke-2 di Kuala Lumpur, semalam.

    Pada 17 Januari lalu, 429 anggota Parlimen Eropah (MEP) menggesa penyingkiran minyak sawit daripada program biodiesel menjelang 2020 kerana ia menyebabkan kemusnahan hutan.

    “Suruhanjaya Eropah yang merupakan cabang eksekutif EU, mencadangkan pindaan undang-undang Eropah mengenai tenaga boleh diperbaharui yang memfokuskan bahan apa perlu menjadi sumber tenaga boleh diperbaharui yang mampan.

    “Malangnya, ia terlalu dipolitikkan dan juga dilencongkan Parlimen EU baru-baru ini apabila mereka meluluskan draf itu,” katanya.

    Juhlin-Dannfelt berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan kebimbangan terhadap kemampanan dalam penghasilan tenaga.

    Pada 29 Januari lalu, Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly ketika berada di Kuala Lumpur berkata, kerajaannya memahami kepentingan kelapa sawit kepada ekonomi Malaysia dan mereka tidak menyokong pengharaman ke atas komoditi itu.

    Beliau ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia berkata, Perancis tidak menyokong dasar bersifat diskriminasi dan menghargai hubungan baik dengan Malaysia.

    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong sebelum itu berkata, kelulusan jawatankuasa khas Parlimen Eropah ke atas resolusi hanya membenarkan minyak sawit dihasilkan secara mampan ke EU bersifat diskriminasi dan berat sebelah terhadap pengeksportan komoditi itu ke rantau berkenaan.

    “Bagi saya, tidak adil mereka (EU) mahu pensijilan sebelum minyak sawit boleh memasuki pasaran EU. Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit berhak mengeluarkan sijil itu, bukannya Eropah yang menentukan.”

    Katanya, Malaysia berharap pendirian Perancis yang tidak menyokong resolusi EU melarang import minyak sawit dari negara Asia, dapat diterjemahkan dalam sesi rundingan antara Majlis Menteri Negara-negara EU serta ahli Parlimen EU akan datang. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Sweden turut bantah resolusi EU sekat minyak sawit "