• Susu Ibu Yang Terbaik

    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+


    KEMENTERIAN Kesihatan menggesa masyarakat khususnya ibu bapa supaya tidak sewenangnya memberikan makanan tambahan kepada bayi tanpa mendapatkan sebarang nasihat doktor.

    Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pandangan pakar itu penting untuk mengelak sebarang risiko kesihatan ke atas bayi untuk tempoh singkat mahupun jangka masa panjang.

    “Ibu bapa perlu pandai memilih mana yang baik untuk keperluan anak mereka. Usah sewenangnya mengambil makanan tambahan kerana dibimbangi boleh menimbulkan masalah kesihatan.

    “Untuk bayi berusia sehingga enam bulan, susu ibu adalah keperluan terbaik memandangkan ia sumber nutrisi lengkap untuk tumbesaran bayi,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam ini.

    Hadir sama, EXCO Kesihatan, Sukan dan Anti Dadah negeri, Datuk Wira Ab Rahaman Ab Karim dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman.

    Hilmi diminta mengulas mengenai makanan tambahan daripada jenama terkenal yang dipromosikan pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa yang cuba meyakinkan ia boleh diambil bayi, sekali gus mengundang kecaman netizen, baru-baru ini.

    “Golongan selebriti juga tidak boleh sewenangnya menggunakan kedudukan mereka untuk mempromosi produk kesihatan. Ini kerana kementerian di bawah Lembaga Iklan Ubat mempunyai syarat-syarat tertentu bagi tujuan promosi,” katanya.

    Susulan kecaman netizen, Neelofa menerusi status akaun Twitter miliknya, menyedari tentang isu yang hangat diperkatakan umum, serta berusaha menyelesaikan kekeliruan berhubung paparan Instastory miliknya yang memperkatakan mengenai kebaikan pengambilan makanan tambahan kepada bayi, baru-baru ini.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Susu Ibu Yang Terbaik "