• 'Suap' Suami Sendiri

    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+

    KANGAR: Bekas kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dihukum penjara lima hari dan didenda RM307,086 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas didapati bersalah menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan untuk suaminya, bernilai RM61,417.20.

    Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, Mohd Shukor Mahmud dalam kenyataan media berkata, keputusan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Johari Hassan.

    Menurutnya, tertuduh, Norfadilla Wahida Radzi, 36, didapati bersalah menggunakan jawatan sebagai kakitangan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi bagi mendapatkan suapan untuk suaminya, Mohd Fadzril Safry Mohamed Soofi.

    Berdasarkan pertuduhan, Norfadilla didapati memasukkan lima borang pesanan ke dalam sistem IUS Kewangan UniMAP berkaitan pembekalan perkakasan dan komponen makmal bernilai RM61,417.20 dari syarikat suaminya, Zerofeak Enterprise.

    “Bagi kesalahan itu, Norfadilla didenda RM307,086 dan penjara lima hari atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

    Mohd Shukor berkata, Mohd Fadzril pula dijatuhi hukuman dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran sebanyak RM15,000 atas pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

    “Mohd Fadzril dituduh dengan lima pertuduhan kerana bersubahat dengan isterinya apabila wang suapan berjumlah RM61,417.20 dimasukkan ke dalam akaun syarikatnya,” katanya.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, A Hafiizh Abu Bakar.

    Pada Mei tahun lalu, pasangan itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas lima tuduhan rasuah membabitkan kontrak pembekalan perkakasan dan komponen di UniMAP.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Suap' Suami Sendiri "