• SPRM Tahan Polis Terima Rasuah RM700

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+


    JOHOR BAHRU: Seorang lans koperal polis berusia 28 tahun yang bertugas di sebuah balai di daerah Muar, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM700.

    Sumber berkata, anggota terbabit ditahan SPRM Johor Cawangan Batu Pahat di Jalan Abdullah, Muar, kira-kira jam 3 petang semalam.

    "Hasil siasatan dijalankan mendapati suspek dipercayai menerima wang rasuah itu daripada seorang kakitangan kontraktor sejak November 2017.

    "Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan mengambil pekerja asing tanpa permit bagi melaksanakan kerja pembinaan di sekitar pekan Pagoh," katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi pagi ini, mengesahkan tangkapan berkenaan.

    "Suspek akan dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " SPRM Tahan Polis Terima Rasuah RM700 "