• SPRM Cadang Penubuhan Badan Bebas Indeks Rasuah

    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta rakyat tidak menilai kemerosotan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang jatuh ke tangga 62 daripada 55 sebagai persepsi buruk terhadap badan itu.

    Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, tidak wajar menilai SPRM daripada sudut persepsi masyarakat asing tetapi nilailah kami berdasarkan aktiviti yang telah dan akan kami laksanakan.

    “Saya seru masyarakat semua jangan menilai kami daripada sudut persepsi masyarakat asing (Transparency International (TI) sebaliknya melihat kepada aktiviti yang SPRM jalankan selama ini.

    “Kami di SPRM tidak terasa pun dengan situasi tersebut malah ia memberi kami semangat untuk jalankan tugas dengan lebih komited. Kejatuhan CPI kami anggap sebagai satu cabaran yang perlu ditangani bersama dan berharap rakyat mainkan peranan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina SPRM di sini, semalam. SPRM turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan badan bebas bagi mengkaji indeks rasuah negara secara terperinci dan perkara itu telah dibincang dan dipersetujui dalam Lembaga Penasihat SPRM baru- baru ini.

    Indeks rasuah ini boleh dijalankan oleh mana-mana pihak ketiga yang ada kredibiliti seperti universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    “Ada media salah faham. Bukan SPRM mahu jalankan siasatan indeks rasuah itu sendiri. Sudah tiba masa, negara kita mempunyai Indeks Persepsi Rasuah (CPI),” katanya.

    Mengikut laporan indeks yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M), Malaysia berada di tangga ke-62 daripada 180 negara berbanding ke-55 daripada 176 negara pada 2016. - MalaysianAccess

    Subjects:

  • No Comment to " SPRM Cadang Penubuhan Badan Bebas Indeks Rasuah "