• SPRM Agih RM400,000 Sebagai Ganjaran Lapor Kes Rasuah

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengagihkan kira-kira RM400,000 sebagai insentif kepada 267 penjawat awam kerana melaporkan gejala rasuah kepada badan itu, sehingga akhir tahun lalu.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata ganjaran terbabit diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu berkenaan melaporkan gejala rasuah yang diketahui mereka.

    Katanya, inisiatif berkenaan selari dengan surat dikeluarkan pejabat Ketua Setiausaha Negara pada tahun 2011 bertajuk 'Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Rasuah'.

    "SPRM tidak boleh bergerak sendirian, perjuangan memerangi rasuah memerlukan kerjasama semua pihak.

    "Saya berharap mereka boleh menjadi ejen, mata dan telinga kepada SPRM. Bersahabat dengan SPRM dan terus membantu kami dalam membanteras rasuah," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (GEMPUR) di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini , hari ini.

    Yang turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

    GEMPUR adalah penjenamaan semula kepada kempen 'Perangi Pemberi Rasuah'.

    Slogan kempen baharu itu iaitu 'anda hulur, kami lapor', bertujuan mendidik penjawat awam untuk menolak sebarang bentuk rasuah ketika bertugas. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " SPRM Agih RM400,000 Sebagai Ganjaran Lapor Kes Rasuah "