• SPR Tidak Lupa Kemudahan Untuk OKU

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+


    Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) menunaikan hak mengundi mereka dengan selesa, yakin dan menjamin kerahsiaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, kemudahan yang disediakan untuk golongan itu termasuk membenarkan ahli keluarga atau orang yang dipercayai menemani mereka ketika proses pengundian.

    “Selain itu, petugas pilihan raya diberi kemudahan membantu pemilih OKU ke tempat mengundi dan menyediakan kemudahan seperti kerusi roda untuk pemilih uzur serta kurang upaya.

    “Pemilih OKU akan sentiasa diberi keutamaan di pusat mengundi oleh SPR,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

    Mohd Hashim berkata demikian sebagai maklum balas terhadap cadangan dan saranan Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (DAMAI), semalam yang meminta SPR menyediakan kemudahan pengundian mesra OKU pada PRU-14.

    Presidennya, V Murugeswaran berkata, kemudahan itu dapat menggalakkan golongan OKU keluar mengundi bagi melaksanakan tanggungjawab sama seperti warganegara Malaysia yang normal.

    Mohd Hashim berkata, SPR mengambil kira keperluan bagi pemilih OKU dan akan meneliti saranan yang dikemukakan DAMAI bagi menyediakan kemudahan tambahan lain untuk golongan itu.

    “SPR menghargai usaha DAMAI dan berharap pemilih dalam kalangan OKU dapat menunaikan tanggungjawab mengundi dengan selesa,” katanya. - harian Metro

    Subjects:

  • No Comment to " SPR Tidak Lupa Kemudahan Untuk OKU "