• SPR Tempah Dakwat Kekal Dari India

    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+

    PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat tempahan dengan sebuah syarikat di India untuk dakwat kekal yang akan dihantar "tidak lama lagi", yang menunjukkan satu lagi petanda bahawa pilihan raya umum bakal berlaku.

    Menurut akhbar Deccan Herald, Mysore Paints and Varnish Ltd memberitahu ia menerima tempahan daripada SPR untuk satu lakh (100,000) botol dakwat kekal.

    Pengerusi syarikat, H.A. Venkatesh dipetik sebagai berkata, tempahan tersebut digunakan pada pilihan raya umum Malaysia.

    Setiap botol mengandungi 60 mililiter (ml) dakwat kekal.

    "Dakwat bernilai Rs8 (RM4.8 juta) akan dibekalkan ke Malaysia tidak lama lagi," kata Venkatesh.

    Laporan berita pada Ahad lalu tidak menunjukkan bila tempahan itu dibuat atau sekiranya SPR akan membuat lebih dari satu tempahan daripada syarikat itu.

    Laman web syarikat tersebut mengandungi foto botol dakwat kekal yang mengandungi logo SPR dan mendakwa produk dakwat kekal telah digunakan untuk menandakan 4.5 bilion pengundi di India dan negara-negara lain.

    Menurut laman web berkenaan, syarikat itu dimiliki oleh kerajaan negeri Karnataka.

    Laporan berita pada tahun lalu menerusi akhbar Star of Mysore memetik Venkatesh sebagai berkata bahawa syarikat itu, yang turut membekalkan dakwat kepada suruhanjaya pilihan raya India, bersedia menerima pesanan untuk pilihan raya di Malaysia, Kemboja dan Nepal.

    Dakwat kekal pertama kali digunakan di Malaysia semasa pilihan raya umum 2013.

    Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, dakwat itu hanya boleh ditempah, dibuat dan dihantar apabila hampir kepada tarikh pilihan raya yang dijangkakan.

    Ini kerana jika ia dihantar terlalu awal, kualiti dakwat tersebut akan terjejas selepas beberapa bulan.

    Penggunaan dakwat kekal adalah salah satu cadangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai Pembaharuan Pilihan Raya dan disediakan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pelaksanaan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012.

    Pertama kali dicetuskan pada pilihan raya umum 2008 di mana penggunaan dakwat dibatalkan tiga hari sebelum pilihan raya umum tahun itu di atas nasihat Peguam Negara kerana keraguan terhadap kesahihannya.

    Pegawai-pegawai dari pengeluar dakwat masih tidak memberi respons terhadap pertanyaan berhubung perkara itu, sementara pegawai SPR enggan mengulas mengenainya.- mStar

    Subjects:

  • No Comment to " SPR Tempah Dakwat Kekal Dari India "