• Sistem Sedia Ada Meletakkan Dr. Mahathir Menjadi Perdana Menteri Selama 22 Tahun

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+

    KANGAR - Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempersoalkan sistem pilihan raya sedia ada dianggap pelik memandangkan apa yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dahulu sehingga kini telah membolehkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

    Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, Dr. Mahathir perlu menjawab persoalan, mengapa sistem yang beliau sendiri gunakan dahulu dianggap sebagai tidak telus sedangkan pilihan raya yang diadakan pada zaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat jauh lebih baik dan adil.

    Dalam masa sama, Azlan juga mempersoal Dr. Mahathir yang tidak mengamalkan kebebasan pada zaman pemerintahannya sehingga sanggup menahan ramai pemimpin menerusi Op Lalang dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekali gus menutup ruang untuk bersuara pada masa itu.

    "Kenapa beliau (Dr. Mahathir) hendak pertikai (sistem pilihan raya) yang telah meletakkan dia sebagai Perdana Menteri cukup lama. Di mana kelemahan sistem yang ada sekarang, beliau perlu jawab itu.

    “Kita masih mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan saya rasa sistem sedia ada itu telah ditambah baik di zaman Perdana Menteri sekarang," katanya ketika ditemui selepas Majlis makan malam bersama pemimpin-pemimpin masyarakat Cina negeri ini di kediaman rasmi Menteri Besar di sini malam tadi.

    Baru-baru ini, Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu telah mengadakan perjumpaan dengan 16 duta dari negara-negara Kesatuan Eropah (EU) bagi menggesa mereka supaya memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) secara bersih dan adil.

    Dalam perkembangan lain, Azlan yang juga Menteri Besar yakin pengundi Cina akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang berdasarkan pencapaian cemerlang kerajaan yang ada sekarang.

    Katanya, seluruh rakyat pastinya ingin melihat Malaysia terus maju dan bergerak ke hadapan dan Perdana Menteri telah membuktikannya melalui pelbagai tranformasi yang dibawa.

    "Saya yakin masyarakat Cina tidak akan mempercayai lagi pembohongan pembangkang yang dilihat tidak pernah konsisten. Perjuangan gabungan ini hanya hendak jatuhkan Perdana Menteri dan BN sahaja," katanya.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Sistem Sedia Ada Meletakkan Dr. Mahathir Menjadi Perdana Menteri Selama 22 Tahun "