• Sindiket Edar Dadah Di Pusat Hiburan Tumpas

    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di ibu kota dengan penahan tiga individu dalam dua siri serbuan di Brickfields, Sabtu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon, berkata dalam serbuan pertama pada jam 6.40 petang itu, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di tepi jalan dan membuat pemeriksaan kenderaan dinaikinya.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menemui 150 biji pil ecstasy; 260 pil eramin 5; 1,250 milimiter (mm) cecair methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan 4.1 kilogram serbuk MDMA.

    "Susulan tangkapan suspek, sepasukan polis kemudian membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan Kuchai Lama dan menahan dua wanita berusia 27 dan 29 tahun.

    "Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 245 gram ketamin; 106 gram ganja dan 275 gram serbuk MDMA," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

    Adnan berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek menganggotai sindiket dikenali sebagai 'Geng Eddy Kuchai' yang aktif mengedar dadah di pusat hiburan di Lembah Klang.

    "Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis Metaphetamin.

    "Seorang daripada suspek yang juga dalang utama kumpulan berkenaan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

    Katanya, semua suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga 10 Februari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Sindiket Edar Dadah Di Pusat Hiburan Tumpas "