• Simunjan Bakal Jadi 'Lubuk' Lahirkan Pemain Futsal

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+

    SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris hari ini meninjau keadaan gelanggang futsal tertutup daerah Simunjan yang bakal dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri pada 24 Februari.

    Beliau berkata, kos keseluruhan pembinaan gelanggang tersebut mencecah RM1 juta menerusi peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) Ahli Parlimen Batang Sadong dan Projek RTP ADUN Simunjan 2017.

    "Ini menunjukkan jalinan kerjasama antara Ahli Parlimen Batang Sadong dan ADUN Simunjan," katanya.

    Menurutnya, gelanggang futsal tersebut boleh memuatkan kira-kira 400 orang penonton.

    "Dengan terbinanya gelanggang futsal tertutup ini, ianya dapat digunakan sepenuhnya oleh belia sekitar Simunjan selain mencungkil bakat dalam arena futsal.

    "Saya berharap belia di sini (Simunjan) dapat menggunakan kemudahan ini nanti dengan sebaik mungkin," ujarnya.

    Tambahnya, gelanggang tersebut akan diuruskan sepenuhnya Majlis Daerah Simunjan (MDS).

    Sehubungan itu, beliau menjemput belia Simunjan untuk datang beramai-ramai semasa majlis perasmian gelanggang tersebut.

    "Kita juga akan memberi peluang kepada pasukan yang berminat untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan menghubungi Pejabat Daerah Simunjan semasa hari perasmian nanti," jelasnya.-Sarawakiana


    Subjects:

  • No Comment to " Simunjan Bakal Jadi 'Lubuk' Lahirkan Pemain Futsal "