• Siasatan Terperinci Punca Kegagalan Sistem Kereta Kabel Langkawi

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+


    LANGKAWI: Panorama Langkawi Sdn Bhd, pengendali sistem kereta kabel Langkawi SkyCab akan menjalankan siasatan terperinci bagi mencari punca kegagalan sistem hingga lebih 1,000 pelancong terkandas, semalam.

    Anggota lembaga Panorama Langkawi Datuk Azizan Noordin berkata walaupun kegagalan sistem gelangsar dikenal pasti sebagai punca perkhidmatan kereta kabel itu tergendala, namun siasatan terperinci melibatkan bahagian kabel akan dilaksanakan bagi memastikan perkara tidak diingini berulang pada masa depan.

    “Kami akan menjalankan pemeriksaan (untuk mengetahui punca kegagalan sistem),” katanya kepada pemberita selepas melawat pelancong terkandas awal pagi ini.

    Berdasarkan kiraan terakhir, sebanyak 1,048 pelancong dan 78 kakitangan syarikat kereta kabel terkandas kira-kira 7 jam sebelum berjaya diselamatkan secara berperingkat antara 9 malam hingga 12 tengah malam tadi.

    Insiden yang dilaporkan bermula pada 5.48 petang sehingga menjejaskan sistem kereta kabel itu dikatakan terburuk pernah berlaku sejak ia mula diperkenalkan sebagai produk pelancongan Langkawi pada 2002.

    Azizan, yang juga ketua pegawai eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), berkata pasukan teknikal Panorama Langkawi mula menggerakkan sistem secara manual kira-kira 9.00 malam untuk membolehkan 88 pelancong yang terkandas dalam 16 gondola diturunkan ke stesen pangkalan.

    Beliau berkata penggerak manual yang hanya dibenarkan untuk pergerakan minimum kereta kabel itu mampu menurunkan beberapa pelancong hingga stesen pertengahan sambil memberi alternatif kepada pihaknya mendapatkan alat ganti untuk dipasang bagi memulihkan sistem sepenuhnya.

    “Seluruh sistem berjaya dipulihkan kira-kira 11 malam bagi membolehkan kita mula memindahkan semua pelancong dan kakitangan yang terkandas,” katanya.

    Beliau berkata kejadian itu turut menguji keberkesanan pasukan pengurusan krisis di pulau itu, yang antara lain melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa badan bukan kerajaan.

    Beliau berkata pasukan Bomba dan Penyelamat bergabung dengan unit teknikal Panorama Langkawi dengan mendaki lebih 600 meter sebelum tiba ke stesen tengah kereta kabel, iaitu sebagai alternatif pertama untuk membawa bahagian gantian gelangsar yang gagal.

    Azizan berkata di stesen pangkalan, pihaknya mengedarkan makanan dan minuman serta tuala sejuk kepada pelancong yang berjaya tiba bertujuan memberi kesegaran kepada mereka bagi pengolahan haba kerana berada di dalam gondola untuk masa yang lama.

    Beliau berkata PDRM menerusi Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Che Ghazali Che Awang turut menyediakan 2 bas polis bagi membantu membawa mangsa pulang ke penginapan masing-masing.

    “Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah (Nor Saidi Nanyan) dan wakil Cina Langkawi (Datuk Chen Lai Ping) juga berada di lokasi kejadian bagi menenangkan hati mangsa dan sebahagian besar pelancong dari China,” katanya.

    Beliau berkata bantuan itu juga melibatkan penginapan tambahan dan mengatur tiket penerbangan untuk pelancong yang terlepas penerbangan pulang disebabkan kejadian itu.

    “Alhamdullilah, cuaca baik dengan keadaan angin rendah juga memudahkan operasi memindahkan semua pelancong dan kakitangan,” katanya. -Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Siasatan Terperinci Punca Kegagalan Sistem Kereta Kabel Langkawi "