• Serah Memorandum Bantah Tun M Calon PM

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Kira-kira 150 pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyerahkan memorandum membantah pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

    Mereka mengambil peluang menyerahkan memorandum dua muka surat itu kepada Anwar yang sedang menjalani pemulihan di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini, susulan pembedahan bahu kanan yang dijalaninya pada November tahun lalu.

    Bekas Exco Pemuda PPBM, Muhd Syazwan Ahmad Zainal, berkata antara intipati utama memorandum berkenaan adalah meminta campur tangan Anwar bagi menyelesaikan kemelut dihadapi komponen dalam pakatan pembangkang.

    "Kami meminta Datuk Seri (Anwar) melakukan sesuatu menyelamatkan kekacauan sesama parti yang berlaku di dalam PH termasuklah isu pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih berlarutan sehingga ke hari ini.

    "Kami tidak bersetuju apabila PH meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri PH kerana seperti diketahui, PPBM adalah penyokong reformasi Anwar.

    "Tun (Mahathir) pula semasa pemerintahannya menentang Anwar, jadi sudah tentulah kami tidak dapat menerima sekiranya beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri PH," katanya yang mengetuai penyerahan memorandum itu.

    Muhd Syazwan mendakwa, sebagai individu yang bertanggungjawab mewujudkan PH, Anwar mempunyai kelebihan dan kekuatan melakukan sesuatu daripada terus melihat pakatan itu dipergunakan Tun Mahathir untuk mencapai matlamatnya.

    "Tun Mahathir hanya menggunakan pakatan itu untuk kembali berkuasa di Putrajaya kerana ada kepentingan yang hendak dicapai," katanya.

    Beliau berkata, memorandum itu diserahkan kepada wakil Anwar pada jam 2.45 petang sebelum mereka bersurai 15 minit kemudian. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Serah Memorandum Bantah Tun M Calon PM "