• Semua Bumiputera Memiliki Hak NCR seperti Termaktub Dalam Perlembagaan

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+
    KUCHING:  Semua Bumiputera di negeri ini memiliki hak keatas Tanah Adat Bumiputera (NCR) seperti yang termaktub dalam perlembagaan negeri Sarawak dan perlembagaan Malaysia tegas Datu Dr Sanib Said.

    Dr Sanib memberitahu, Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) telah menganjurkan Seminar Hak Adat Bumiputera Melayu pada 29 Januari lepas dan draf resolusi tersebut tersebar luas dalam Utusan Borneo dan berita TV1 menarik perhatian orang ramai dan mendapat pelbagai reaksi serta harapan.

    "Untuk mengelak sebarang salah faham dan tanggapan, saya sebagai Yang Dipertua IGMS membuat kenyatan di sidang media hari dan menerangkan fakta sebenar.

    "Pada 31 Januarj 2018, saya telah diundang untuk berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg," katanya.

    Jelasnya, turut hadir dalam pertemuan itu ialah dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

    "Setelah berbincang, Abang Johari menyatakan beliau dan kerajaan Sarawak sentiasa bersedia mempertimbangkan dan mendengar sebarang isu berkaitan dengan hak adat dan kebajikan penduduk Melayu negeri ini.

    "Abang Jo berkata akan mengkaji semua resolusi dan resolusi khusus tentang Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak akan dibawa dakam mesyuarat khas 'Task Force' Pemakai Menoa dan Pulau Galau (PMPG) untuk diteliti dan dipertimbangkan oleh kerajaan Negeri," jelasnya.

    Beliau yang merupakan Pakar Sejarah Sarawak berkata demikian pada sidang media di sini hari ini.

    Sanib yang juga Pengerusi Badan Hak Adat Bumiputera Melayu (BAHAM) Sarawak menambah, dengan tindakan proaktif dan dasar keterbukaan Ketua Menteri maka BAHAM tidak berhajat untuk meneruskan had tempoh 14 hari kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan lanjutan.

    "Dengan ini BAHAM menaruh kepercayaan pada kebijaksanaan kepimpinan Abang Jo dan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan semua resolusi Seminar Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak," tegasnya.

    Beliau menambah, pihak beliau berharap semua penduduk negeri ini khususnya dan Malaysia amnya mesti menghormati hak Bumiputera Melayu Sarawak sebagai Bumiputera.

    Sidang media berkenaan turut dihadiri wakil dari 17 NGO Melayu . – Sarawakiana





  • No Comment to " Semua Bumiputera Memiliki Hak NCR seperti Termaktub Dalam Perlembagaan "