• Semporna Perlu Pusat Tapak Semaian Benih Rumpai Laut

    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+

    SEMPORNA -- Daerah ini sangat memerlukan pusat tapak semaian benih rumpai laut bagi mengatasi kekurangan benih tanaman itu yang menjadi sumber pendapatan utama nelayan.

    Ketua Kluster Rumpai Laut Kampung Lok Buton Hadman Indanan, 42, berkata selama hampir 16 tahun penglibatannya dalam industri rumpai laut, mereka terus berhadapan isu kekurangan benih rumpai ini yang menjejaskan kapasiti pengeluaran.

    Katanya benih rumpai laut sedia ada tidak mencukupi untuk 70 peserta kluster di kampung itu memandangkan program ini berkelompok dan pusingan benih yang ditanam semula agak perlahan sehinggakan mereka terpaksa membeli benih dari Sibuan dan Kerindingan.

    Beliau berkata di perairan Kebimbangan, Lok Buton dan Gelam-Gelam hanya tertumpu angin utara seperti sekarang untuk pengeluaran benih dan apabila tiba musim selatan pengeluaran benih itu perlahan untuk tempoh masa satu ke dua bulan.

    "Oleh itu, perlu ada pusat tapak semaian bagi mengatasi masalah kekurangan benih rumpai laut ini dan cadangan ini telah saya ajukan kepada pihak Jabatan Perikanan sejak tahun lepas.

    "Saya berharap cadangan ini dipertimbangkan bagi memastikan masalah kekurangan benih rumpai laut ini tidak menjejaskan pendapatan kami," katanya kepada Bernama di sini.

    Hadman berkata Program Pembangunan Rumpai Laut (PPRL) dengan sasaran kepada Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) di Kampung Lok Buton mampu menjana pendapatan isi rumah bagi 70 peserta kluster berdaftar hingga RM1,500 purata sebulan seorang, berbanding sebelum ini hanya RM400 sebulan.

    Harga rumpai laut kini berada dalam tahap baik iaitu RM3.20 sekilo berbanding dulu hanya RM0.60 sen.

    Beliau menghargai usaha kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Perikanan serta agensi berkaitan yang sentiasa berusaha membantu pengusaha rumpai laut bagi mempromosikan industri ini.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Semporna Perlu Pusat Tapak Semaian Benih Rumpai Laut "