• Seludup Petrol Guna Wanita Seksi

    Published: Wednesday, 7 February 2018
    A- A+
    KOTA BHARU: Sindiket penyeludupan minyak petrol di kawasan sempadan kini dikesan menggunakan wanita cantik dan muda untuk melakukan kegiatan terbabit.

    Wanita berkenaan bertanggungjawab mengisi minyak menggunakan kereta sama ada yang diubah suai atau tidak sebelum memasuki Thailand.

    Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Mohd Asri Yahya, berkata wanita berkenaan memasuki Thailand menggunakan laluan sah untuk menghantar bekalan minyak itu.

    "Itu taktik baharu sindiket penyeludupan minyak berdasarkan risikan yang kini banyak menggunakan wanita muda, bagi mengaburi pasukan keselamatan.

    "Memang kalau kita lihat, kita tidak sangka wanita muda terbabit membawa bekalan minyak untuk diseludup ke Thailand. Mungkin dia mendapat bayaran lumayan berbuat demikian," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

    Mohd Asri berkata, kebanyakan sindiket penyeludupan minyak petrol akan mengubah suai kenderaan mereka bagi membolehkan bekalan minyak diisi dengan banyak.

    "Sebagai contoh bagi sebuah kereta Proton Waja yang sudah diubah suai, mereka mampu mengisi minyak bernilai RM400 hingga RM500, berbanding RM80 sebelum diubahsuai.

    "Mereka cukup licik kerana bukan sahaja menggunakan pangkalan haram untuk menyeludup bekalan minyak itu, sebaliknya turut menggunakan laluan sah," katanya.

    Beliau berkata, berikutan Sambutan Tahun Baharu Cina semakin dekat, kegiatan penyeludupan dijangka semakin aktif dan pihaknya akan perketat kawalan bagi mengekang kegiatan terlarang itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Seludup Petrol Guna Wanita Seksi "