• Saya Tidak Perlu Minta Maaf - Najib

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Komuniti perniagaan China adalah antara rakan dalam memacu pembangunan Malaysia berpendapatan tinggi dan berkemahiran, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri ketika menzahirkan pendirian itu menegaskan: "Saya tidak perlu minta maaf apabila berkata sedemikian."

    Katanya, dakyah dijaja bekas pemimpin Malaysia, kononnya kedaulatan negara dijual kepada China susulan lonjakan pelaburan daripada republik itu disifatkan sekadar pemikiran 'buta' ekonomi.

    "Setiap kali kadar pelaburan dari China meningkat, beliau (bekas pemimpin Malaysia) tuduh kerajaan menjual kedaulatan kepada China.

    "Jika itu logik pemikirannya, adakah kita menjual kedaulatan negara kepada Jepun ketika beliau menerajui tampuk kuasa.

    "Secara kebetulan, kadar pelaburan dari Jepun adalah lebih tinggi berbanding China dan Hong Kong dalam jangka panjang, tetapi setahu saya, kita masih negara berdaulat," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis makan tengah hari sempena Tahun Baru Lunar serta Kerjasama Bilateral Malaysia-China, di ibu negara, hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Duta China ke Malaysia, Bai Tian dan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China, Tan Sri Ong Ka Ting.

    Najib berkata, pelaburan Malaysia ke China sebelum ini pernah melangkaui kadar pelaburan republik berkenaan ke negara ini, namun tidak mencerminkan ia gerakan membeli kedaulatan China.

    "Sesiapa yang mempunyai logik seperti ini (Malaysia menjual kedaulatan kepada China) tidak mempunyai pengetahuan mengenai fungsi ekonomi.

    "Tindakan sedemikian hanya sekadar penyebaran dakyah demi meraih kepentingan politik.

    "Kita membuka pintu seluasnya untuk pelaburan daripada China, Jepun, India, Arab Saudi atau mana-mana negara yang mempunyai hubungan rapat.

    "Dasar terbuka ini dicerminkan menerusi penubuhan pelbagai syarikat multinasional dan pemindahan pejabatnya ke Kuala Lumpur," katanya.

    Selain China, Jepun, Amerika dan Perancis, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, firma dari Switzerland mengumumkan pelaburan RM12 bilion dalam membangunkan loji baharu di Pahang. - BH

    Katanya, dasar perniagaan dan pelaburan terbuka Malaysia selama ini menjana pelbagai kesan limpahan, termasuk kejayaan kerajaan mewujudkan 2.26 juta pekerjaan sejak 2009, kadar inflasi, pengangguran yang rendah serta keutuhan pertumbuhan ekonomi.

    "Ini antara sebab mengapa kita menerima pelbagai pengiktirafan daripada institusi terkemuka dunia di peringkat global seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)," katanya.

    Najib berkata, keputusan untuk memutuskan kerjasama strategik Malaysia - China yang dirintis bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, pada 1974 sehingga melakar sejarah negara ASEAN pertama menjalin hubungan diplomatik dengan republik itu, hanya bakal mengundang kerugian.

    Beliau menyifatkan, keputusan memeterai kerjasama strategik dengan China yang membawa kepada hubungan rapat kedua-dua negara sebaliknya tindakan tepat.

    - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Saya Tidak Perlu Minta Maaf - Najib "