• 'Saya Sudah Pulangkan Cincin Tunang' - Bapa Elfira Loy

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Umpama penamat kepada kontroversi putus tunang antara Elfira Loy dan Sufian Suhaimi, bapa aktres itu mengesahkan beliau sudah memulangkan cincin mengikut adat di kediaman keluarga penyanyi itu di Muar, Johor, petang semalam.

    Memberitahu BH Online, bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin berkata, beliau yang ditemani lapan ahli keluarga dan sanak-saudara bertemu bapa dan bapa saudara Sufian di rumah keluarga Sufian, kira-kira jam 5.30 petang.

    Menurutnya, Sufian tidak berada di rumah ketika majlis pemulangan cincin tunang itu berlangsung.

    "Kami sekeluarga sudah membuat keputusan memutuskan tali pertunangan antara Elfira dan Sufian.

    "Kami anggap antara anak saya dan dia (Sufian) tiada jodoh. Apa juga alasan atau sebab musabab lain itu tak perlulah ditulis kerana ia akan menyakitkan hati dan menyinggung perasaan orang lain.

    "Biarlah ia tersimpan erat dan hanya keluarga masing-masing saja tahu," katanya kepada BH Online.

    Kelmarin, BH Online melaporkan kenyataan ibu Elfira, Filzah Yusoff yang mengesahkan anaknya itu sudah putus tunang dengan penyanyi lagu Terakhir itu.

    Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober tahun lalu. Jika mengikut perancangan awal, mereka bakal disatukan, awal bulan depan.

    Ahmad Sabri mengaku proses pemulangan cinta mengambil masa disebabkan urusan kedua-dua keluarga selain faktor kesesuaian masa.

    "Saya pun sibuk dengan urusan kerja. Jika diikutkan, kita mahu serah cincin ini sebelum Elfira mengerjakan umrah pada awal bulan ini. Tapi ada saja halangan. Akhirnya, alhamdulillah segala urusan dipermudahkan semalam," katanya.

    Memperincikan pertemuan semalam, Ahmad Sabri berkata, semuanya dilakukan mengikut adat Melayu.

    "Proses penyerahan cincin berlangsung dengan adat Melayu tanpa ada syarat tambahan seperti majlis tunang Oktober lalu.

    "Baik keluarga saya dan keluarga Sufian menerima keputusan itu dengan terbuka. Kami masing-masing reda dengan apa yang sudah tertulis dan sepakat meneruskan hubungan baik tanpa perlu bermusuh," katanya.

    Ahmad Sabri juga mengaku selepas segala dirancang tidak menjadi, keluarga kedua-dua pihak terluka dan menanggung malu.

    "Saya tak anggap hanya satu keluarga saja yang menanggung malu dan sedih. Sebaliknya, kedua-dua keluarga.

    "Sebagai orang Islam dan Melayu kita menerima ketentuan qada dan qadar ini... Kita merancang, Tuhan tentukan.

    "Malah, lebih baik dan afdal selepas ini kita tutup saja hal ini tanpa perlu ada lagi kenyataan daripada pihak Elfira dan Sufian termasuk sidang media yang boleh menyinggung perasaan," katanya.

    Tambah Ahmad Sabri, dia turut berkomunikasi dengan Elfira dan Sufian selepas apa terjadi.

    "Saya ada menghantar mesej kepada Elfira sekembalinya dia dari New York, Amerika Syarikat (AS), malam tadi. Saya harap dia kuat dengan dugaan ini.

    "Saya harus puji Sufian kerana mesej yang dihantarnya, semalam cukup bagus. Dia beritahu keluarganya sudah maklumkan hal penyerahan cincin. Dia juga minta maaf atas khilaf diri selain meminta halalkan makan dan minum," katanya.

    -BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Saya Sudah Pulangkan Cincin Tunang' - Bapa Elfira Loy "